Keputusan PRU13 ini telah membuktikan hanya dengan izin tuhan sahaja pemimpin dapat ditentukan untuk menjadi wakil rakyat baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Dewan Rakyat. 

Anwar Ibrahim dan penyokong parti pembangkang mestilah redha dengan apa juga keputusan kerana masih ada juga pemimpin pembangkang yang menang…  Kalah dan menang adalah adat setiap pertandingan dan sekiranya keputusan PRU13 sudah dirancang kenapa BN hanya menang 133 dan tidak 200?  Pada PRU12 BN di bawah Pak Lah berjaya memperolehi 180 buah kerusi parlimen yang mengakibatkan Pak Lah berundur daripada memegang kerusi Pengerusi BN dan juga Perdana Menteri ke-5…

Adakah Anwar Ibrahim mahu keputusan PRU13 dimansuhkan juga dan diulang sekali lagi PRU13?

Penyokong parti pembangkang dinasihat tidak bersikap fanatik

Utusan Borneo 12 Mei 2013, Ahad

MIRI: Penyokong parti pembangkang dinasihatkan agar tidak terlalu bersikap fanatik sehingga boleh dianggap membelakangkan kepercayaan agama masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau percaya pemimpin atau wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah satu takdir dan telah ditentukan oleh Tuhan.

“Saya percaya semua rakyat tidak mengira agama telah berdoa untuk ditunjukkan jalan yang benar dalam pemilihan (PRU13) wakil rakyat tidak mengira Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen dan ini semua (keputusan) adalah takdir,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, ketelusan dan keadilan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses pilihan raya tidak dapat dinafikan sama ada pada PRU13 atau pilihan raya sebelumnya.

“Jika sudah berserah dan sudah ada jawapan (daripada Tuhan), takkan kita lebih percaya tohmahan dan tuduhan daripada pembangkang, ini maksudnya sudah melawan ketentuan (Tuhan),” jelas beliau.

Apa yang lebih membingungkan, Dennis mempersoal mengapa keputusan pilihan raya DUN diterima dan sudah ada kerajaan negeri dari parti pembangkang yang dibentuk, tetapi pada masa yang sama pula menolak keputusan Parlimen.

“Walhal sistem dan pendekatan serta pengurusan adalah sama, tetapi satu keputusan diterima (DUN) manakala satu lagi (Parlimen) ditolak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan supaya rakyat merenung hal berkenaan dan jangan bertindak melulu akibat mempercayai hasutan secara membuta-tuli daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Pada 8 Mei lalu, satu perhimpunan Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Kelana Jaya di Kuala Lumpur diadakan bagi membantah keputusan PRU13.

Berikutan itu, beberapa siri perhimpunan turut diuar-uarkan bakal diadakan di beberapa tempat lain melalui laman sosial Facebook.